
Terbaharu, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming mengesahkan penyertaan dalam kategori 10 kilometer (km) pada program larian dijangka di Persiaran Flora, Cyberjaya.
Ong yang kini pro naib canselor untuk perhubungan luar di Taylor’s University dikenali sebagai peminat larian dan pernah berlatih dengan Duta LKM Khairy Jamaluddin untuk meningkatkan kelajuan lariannya.
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu turut mengajak mengajak orang ramai menyertai larian terbabit yang disifatkannya menjadi manifestasi tiada jurang agama dan bangsa dalam memupuk perpaduan serta membantu golongan memerlukan.
“Satu contoh dan inisiatif yang baik oleh YKM, melalui LKM 2024, untuk membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat Pandemik Covid-19.
“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama dalam LKM 2024 yang berlangsung 29 Sept ini.
“Penyertaan anda dalam larian ini penting bagi membantu anak-anak di bawah tanggungan YKM terus terbela,” katanya dalam kenyataan YKM.
YKM ditubuhkan pada 23 Okt 2021 untuk menjadi ‘pelindung’ kepada anak yatim akibat Covid-19 terutama daripada keluarga berpendapatan rendah.
Kini diperluaskan pula kepada kanak-kanak kematian ibu bapa serentak akibat kemalangan jalan raya dan bencana alam.
LKM 2024 terbahagi kepada tiga larian iaitu ‘fun run 5km’, ‘race 10km’ dan ‘half marathon 21km’ yang dipecahkan kepada kategori lelaki, wanita, lelaki veteran serta wanita veteran.
Selain hadiah antara RM200 hingga RM800 bagi larian 10km dan 21km, penganjur turut menyediakan cabutan bertuah yang hadiah utamanya sebuah kereta sumbangan Perodua.
Tekan di sini https://www.ticket2u.com.my/event/36349/larian-keluarga-malaysia-2024) untuk pendaftaran dan maklumat lanjut berhubung LKM 2024.