
Beliau berkata, BNM menyarankan pelbagai langkah pencegahan kepada bank sejak 2022, termasuk beralih daripada penggunaan kata laluan sekali (OTP) melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada kaedah lebih kukuh bagi mengurangkan risiko pelanggan menjadi mangsa penipuan.
“Migrasi daripada OTP SMS ke bentuk pengesahan lebih selamat berjaya mencegah ‘scammer’ memintas OTP SMS mangsa melalui pemancingan (pishing) data dan ‘malware’ (perisian hasad),” katanya menurut Berita Harian dalam sesi taklimat bersama pengamal media pada Majlis Pelancaran Portal Fraud Kebangsaan (NFP) semalam.
Beliau berkata, pengukuhan langkah pencegahan oleh institusi perbankan secara kolektif membuahkan hasil positif apabila jumlah kes penipuan kewangan dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berkurangan sebanyak 28% dari 2022 hingga 2023.

Menurutnya, industri perbankan juga berjaya menghalang empat kali ganda transaksi penipuan dalam talian, di mana data BNM menunjukkan transaksi membabitkan RM383 juta berjaya dihalang tahun lalu.
Katanya, langkah pencegahan lain termasuk tempoh bertenang (cooling-off period) untuk pendaftaran kali pertama perkhidmatan perbankan dalam talian dan peranti selamat yang dapat menangguhkan cubaan penipuan serta membolehkan mangsa atau bank menyedari potensi pelanggaran.
“Pihak bank kini mengehadkan hanya satu peranti mudah alih boleh digunakan pelanggan untuk mengesahkan transaksi perbankan dalam talian,” katanya sambil menambah kaedah itu dapat mencegah “scammer: mengaktifkan perbankan dalam talian daripada peranti baharu tanpa pengetahuan mangsa.
Norhana berkata, pihak bank turut menyediakan “hotline” khusus untuk pelanggan atau mangsa segera melaporkan kejadian penipuan serta “killer switch” untuk mangsa membekukan sementara akaun bank mereka bagi menghentikan kehilangan dana berterusan.
Menurutnya, usaha berterusan memperkukuhkan langkah pencegahan itu sejajar ancaman penipuan kewangan semakin berleluasa.
“Ia dapat memastikan kebolehan pengesanan di peringkat pelanggan yang lebih mantap dan tepat pada masanya bagi transaksi mencurigakan.”