
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 dan pemain pilihan keenam kejohanan itu gagal mengulangi prestasi baik beliau dan tewas kepada pemain ke-29 dunia, 18-21, 13-21 dalam masa 41 minit pada kejohanan Super 750 di Arena Yokohama.
Sementara itu dua pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri, seperti dijangkakan berjaya layak ke pusingan kedua.
Sze Fei-Nur Izzuddin pasangan pilihan kelapan kejohanan, berjaya mengatasi pasangan tuan rumah, Kazuki Shibata-Naoki Yamada, 21-13, 21-13, dan seterusnya ke pusingan kedua untuk bertemu pasangan Liu Huang Keng-Yang Po Han.
Terdahulu, pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu layak ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi pasangan negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-13, 21-17.
Hon Jian-Muhammad Haikal pula cemerlang selepas tewas set pertama untuk mengalahkan pasangan Jerman, Bjaerne Geiss-Jan Colin Voelker, 12-21, 21-11, 21-16 dalam masa 55 minit.
Tugas sukar menanti pasangan bukan pilihan kejohanan itu apabila akan berhadapan pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, selepas mereka mengalahkan pasangan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han, 22-20, 13-21, 21-14.
Perseorangan profesional negara Goh Jin Wei pula gagal layak ke pusingan seterusnya, selepas tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari China, Wang Zhi Yi, 18-21, 10-21.