Muhyiddin tak akan dedah nama kerana takut hilang jawatan, kata Salleh

Muhyiddin tak akan dedah nama kerana takut hilang jawatan, kata Salleh

Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin Yassin akan ditolak sebagai pengerusi PN jika gagal mengesahkan dakwaan 115 Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin Yassin boleh hilang kredibiliti jika ada di antara 115 Ahli Parlimen enggan sahkan sokongan kepadanya seperti didakwa pada ceramah PRK Nenggiri, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Sabah yakin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin tidak akan mendedahkan nama 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya, kerana takut hilang jawatan.

Adun Usukan Salleh Said Keruak berkata Muhyiddin khuatir tidak lagi mengetuai gabungan itu kerana ‘kenyataan fakta’ yang dibuat ketika PRK Nenggiri hanya andaiannya sendiri.

“Saya yakin Muhyiddin tidak akan dedah nama kesemua 115 Ahli Parlimen seperti mana yang dicabar oleh Puad Zarkashi. Ini adalah sebab beliau tidak mempunyai sokongan seramai itu.

“Jika Muhyiddin cuba dedahkan nama 115 Ahli Parlimen itu, beliau akan hilang kredibiliti sebagai seorang pemimpin apabila sebilangan Ahli Parlimen tidak mahu mengesahkan,” katanya di Facebook.

“Maka pihak PN akan tolak beliau dari jawatan pengerusi PN untuk diganti dengan seorang pemimpin mempunyai kredibiliti dan bijak.”

Semalam, Puad, ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno mencabar Ahli Parlimen Pagoh itu untuk mendedahkan senarai 115 Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menjadi perdana menteri ke-10.

Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah murka dengan kenyataan Muhyiddin yang disifatkan secara sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Abdullah.

Baginda berkata presiden Bersatu itu cuba memanipulasi fakta serta membawa naratif negatif seolah-olah Sultan Abdullah tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Muhyiddin dipanggil memberi keterangan hari ini susulan laporan terhadapnya termasuk oleh Istana Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.