Motif bunuh ahli keluarga akibat keganasan rumah tangga

Motif bunuh ahli keluarga akibat keganasan rumah tangga

Polis mendapati suspek warga asing itu hidup gelandangan bersama keluarganya dan positif tiga jenis dadah.

Suspek direman seminggu hingga 26 Ogos. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis percaya motif pembunuhan dua beranak yang ditemui dengan kesan kelar adalah akibat keganasan rumah tangga dan suspek juga positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine serta mop.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata suspek warga asing berusia 43 tahun itu juga hidup gelandangan bersama keluarganya.

“Mungkin suspek ada tekanan keluarga, ditambah pula bawah pengaruh dadah, jadi kemungkinan besar ini semua melibatkan keganasan rumah tangga

“…tetapi kita akan soal siasat anak lelakinya yang berusia lima tahun itu kerana sekarang dia masih dalam keadaan trauma,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Alor Setar.

Terdahulu, mayat isteri dan anak perempuannya ditemukan dalam longkang di belakang sebuah bangunan kosong dengan kesan kelar, berdekatan Pekan Simpang Kuala di Jalan Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam.

Hari ini, satu lagi mayat dipercayai anak bongsu suspek ditemukan terdampar di Pantai Leman, Kuala Kedah, pada 12 tengah hari, dengan kesan kelar sama dialami ibu dan kakaknya.

Polis berkata, seorang lagi anak lelaki suspek berusia lima tahun berjaya diselamatkan ketika lelaki itu diberkas 9.20 malam tadi, di sebuah masjid di Bukit Pinang, Alor Setar. Suspek direman seminggu hingga 26 Ogos.

Dalam pada itu, Adzli berkata kejadian itu tidak melibatkan pihak lain atau keganasan terancang, sekali gus meminta orang ramai menghentikan spekulasi yang tular di media sosial mengenai keadaan tidak selamat di Kedah sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.