Koperasi digesa lebih proaktif majukan ladang terbiar untuk penanaman semula

Koperasi digesa lebih proaktif majukan ladang terbiar untuk penanaman semula

Pengeluaran minyak sawit negara sejak 10 tahun lepas menurun daripada 19.6 juta tan metrik kepada 18.5 juta tan metrik.

ladang sawit
Terdapat kira-kira 1.7 juta hektar tanaman sawit yang berusia lebih 19 tahun, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani. (Facebook pic)
MELAKA:
Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) digesa memainkan peranan proaktif memajukan ladang sawit terbiar menerusi projek penanaman semula bagi meningkatkan pengeluaran komoditi itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani berkata terdapat kira-kira 1.7 juta hektar tanaman sawit yang berusia lebih 19 tahun dan sekiranya tidak ditangani segera ia akan memberi impak yang besar terhadap pengeluaran dan eksport minyak sawit.

“Pengeluaran minyak sawit negara sejak 10 tahun lepas menurun daripada 19.6 juta tan metrik kepada 18.5 juta tan metrik.

“Antara sebabnya adalah kita tidak membuat penanaman semula mengikut standard ditetapkan iaitu melakukan sekurang-kurangnya 4% atau 5% penanaman semula tetapi (sebaliknya) hanya 1.8% setahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2024, di Banda Hilir.

Keadaan ini, katanya, menyebabkan Malaysia ketinggalan berbanding negara pengeluar lain dan menggesa koperasi di bawah MPOB memainkan peranan berbincang bersama pekebun kecil yang tidak lagi berminat membuat penanaman semula untuk berbuat demikian dengan bantuan kerajaan.

Johari berkata setakat ini permohonan yang diterima untuk melakukan tanaman semula kelapa sawit di ladang terbiar berjumlah 5,900 hektar dan pihaknya menyasarkan sekitar 9,000 hektar menjelang tahun hadapan.

“Kita juga akan memohon melalui Kementerian Kewangan untuk melakukan penanaman semula di kawasan 9,000 hektar itu dalam memastikan pengeluaran minyak sawit kita tidak menurun memandangkan ia merupakan eksport utama negara yang bernilai lebih RM100 bilion,” katanya.

Sementara itu, kementerian akan memastikan usaha penanaman semula dilakukan melalui proses kelestarian yang perlu dipraktikkan oleh kira-kira 442,000 pekebun kecil bagi menampung sasaran untuk menembusi pasaran baharu seperti benua Afrika, Timur Tengah serta India.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.