Kesilapan PN adalah tunggu kerajaan buat salah, kata Shahril

Kesilapan PN adalah tunggu kerajaan buat salah, kata Shahril

Bekas ketua penerangan Umno berkata 'serangan' dilakukan PN terhadap kesilapan kerajaan tanpa menetapkan agenda sendiri adalah 'langkah silap'.

Khairy Jamaluddin berpendapat kekalahan Perikatan Nasional di PRK Nenggiri berpunca apabila gabungan itu berasa selesa bahawa ia adalah kerusi Melayu.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Taktik Perikatan Nasional (PN) terus menjaja isu lama setiap kali PRK selain hanya menunggu kesilapan Putrajaya antara punca sokongan gabungan itu tepu dan kalah di Nenggiri, kata Shahril Hamdan.

Bercakap dalam episod audio siar Keluar Sekejap, bekas ketua penerangan Umno berkata ‘serangan’ dilakukan PN terhadap kesilapan kerajaan tanpa menetapkan agenda sendiri adalah ‘langkah silap’.

“Taktik PN ungkit benda sama setiap kali PRK menyebabkan sokongan mereka dah tepu di banyak tempat. Nampak seperti PN hanya menunggu kesilapan kerajaan.

“Mereka akan beri reaksi terhadap dasar kerajaan (dan) tak tetapkan agenda mereka. Mereka hanya benarkan kerajaan tetapkan agenda dan hanya menunggu untuk silap dan rakyat marah kepada kerajaan seperti zaman 2018 dan 2020.

“Saya ingat langkah itu silap,” katanya yang turut bersiaran bersama Khairy Jamaluddin.

Pada PRK Nenggiri Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dengan majoriti lebih besar 3,352 undi menewaskan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Shahril berkata, pendekatan politik PN ketika ini sudah tidak relevan mengambil kira mood rakyat yang muak dengan pertukaran kerajaan sebelum tamat penggal, merujuk tindakan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang terus menjaja kronologi pelantikan perdana menteri pasca PRU15 dalam kempen di Nenggiri.

“Sebab itu, walaupun kerajaan perpaduan tidaklah hebat sangat tidaklah disukai oleh semua orang tetapi mereka masih di hadapan berbanding PN,” katanya.

Sementara itu, Khairy berpendapat kekalahan PN juga berpunca apabila gabungan itu berasa selesa bahawa Nenggiri adalah kerusi Melayu.

“PN lupa Nenggiri dulu kubu kuat Umno dan mereka anggap ini kerusi Melayu (dan) mereka akan menang,” kata bekas ketua Pemuda Umno.

Selain itu katanya, pendekatan Pengarah Pilihan Raya PN Annuar Musa menjawab kritikan mengenai pemakaiannya juga memberi kesan kepada mood pengundi tempatan.

“Fesyen pengarah pilihan raya PN (Annuar) sedikit sebanyak menjadi buah mulut dalam kempen.

“Cara dia respons ‘my money my style’, benda-benda ni patutnya dielakkan kerana menyumbang kepada mood pengundi Nenggiri.”

Penampilan Annuar dalam kempen di Nenggiri mencuri tumpuan apabila memakai pakaian berjenama mewah mencecah belasan ribu ringgit ketika melawat perkampungan Orang Asli.

Namun ketika menjawab kritikan itu, Annuar dalam satu ceramah pada 9 Ogos berkata: “Ikut aku pitih (duit) aku.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.