Kementerian Pengangkutan harap My50 diteruskan tahun depan

Kementerian Pengangkutan harap My50 diteruskan tahun depan

Inisiatif itu dilihat perlu bagi memudahkan pengguna khususnya di Lembah Klang mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan harga murah.

MRT passengers
Pengguna rel di Lembah Klang kini mencecah hampir 900,000 secara purata setiap hari. (Gambar MRT)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan berharap inisiatif My50, iaitu pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang dapat diteruskan untuk tahun depan menerusi Belanjawan 2025, kata Menteri Loke Siew Fook.

Beliau berkata, inisiatif itu dilihat perlu bagi memudahkan pengguna khususnya di Lembah Klang mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam dengan harga murah, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

“Kita agak bangga melihat pengguna My50 semakin ramai. Sekarang sudah mencecah lebih daripada 200,000 (pengguna) sebulan. Pengguna rel di Lembah Klang sekarang ini telah mencecah hampir 900,000 secara purata setiap hari. Kalau dicampur dengan bas, lebih 1.1 juta ridership kita setiap hari di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta Antara Malaysia Rapid Transit System (MRTS) dan Coronade Properties Sdn Bhd.

Loke berkata, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi menambah baik sistem pengangkutan awam supaya lebih ramai warga kota khususnya di Lembah Klang dapat menggunakan pengangkutan awam.

Beliau berkata, sistem pengangkutan awam di Lembah Klang juga masih memerlukan penambahbaikan kerana berhadapan isu kesesakan lalu lintas.

“Jadi saya harap beberapa inisiatif dan juga projek yang kita telah minta dan pohon, akan diberikan pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.