
Maria Chin Abdullah, yang berkhidmat sebagai pengerusi Bersih 2.0 dari 2013 hingga 2018, mengakui parti politik perlu meraih sokongan pengundi, tetapi menurutnya, melakukannya dengan memberi habuan akan membawa mudarat.
Sementara itu, Thomas Fann, yang kini mengetuai NGO Projek Sama, khuatir tindakan sedemikian akan mengancam proses demokrasi.
Maria memberi amaran, jika amalan itu tidak dikekang, ia boleh mengakibatkan ketirisan dana awam.
“(Ketirisan ini) akan berterusan jika amalan memberi habuan berterusan. Jika kita mahu membanteras (ketirisan dana awam), kita perlu menghentikan budaya itu,” katanya.
Maria, bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya antara 2018 dan 2022, berkata reformasi hanya boleh terlaksana jika semua pihak berkepentingan jelas mengenai undang-undang dan mematuhinya.
Katanya, menurut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon atau ejen mereka dilarang menyogok pengundi dengan niat mempengaruhi keputusan mereka.
Mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, dan boleh didenda tidak lebih RM5,000.
Mereka juga tidak boleh didaftar atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi pada mana-mana pilihan raya untuk tempoh lima tahun. Jika sudah dipilih, kerusi mereka akan dikosongkan dari tarikh sabitan.
Bagaimanapun, Maria menjelaskan, pemberian dibenarkan dalam tempoh krisis, seperti semasa wabak atau bencana alam, asalkan bukan dalam konteks mendapatkan sokongan politik.
‘Politik pembangunan’
Dalam episod audio siar Keluar Sekejap minggu lepas, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata, sukar bagi ahli politik sukar mengelak daripada memberi atau menjanjikan habuan disebabkan jangkaan pengundi.
Katanya, ahli politik kerajaan dan pembangkang masing-masing mengamalkannya, – sesuatu yang digelarnya sebagai ‘politik pembangunan’ – ketika berkempen bagi PRK Nenggiri baru-baru ini kerana strategi itu masih berkesan, terutama di kawasan luar bandar.
Tambahnya, walaupun budaya pemberian habuan dilihat tidak lagi mampu meraih undi, ia masih dilihat sebagai amalan yang ‘dibenarkan’.
Hos bersama Khairy Jamaluddin berkata, pemberian habuan – sama ada dalam bentuk bantuan makanan, janji untuk membina jambatan, atau menyediakan helikopter dan jentera kerajaan untuk digunakan dalam kempen pilihan raya – semuanya sudah dianggap boleh diterima.
‘Kamu tolong saya, saya tolong kamu’
Fann, yang mengetuai Bersih dari 2018 hingga 2023 berkata, calon dibenarkan membuat janji pilihan raya ketika kempen kerana ia lazimnya berdasarkan dasar yang ingin dilaksanakan oleh calon itu jika dipilih.
Bagaimanapun, ia bukan suatu bentuk transaksi dan tidak sepatutnya dijadikan kelaziman, katanya.
“Ini bermakna ia mesti dijanjikan kepada semua pengundi di kawasan itu, bukan hanya kepada mereka yang mengundi calon (tersebut).
“Sebaliknya, rasuah ialah aturan ‘quid pro quo’ yang mana calon atau sekutu mereka secara langsung mempengaruhi pengundi dengan insentif material,” katanya menambah, ia berdasarkan naratif ‘kamu tolong saya, saya tolong kamu’.
Fann berkata, amalan melazimkan rasuah pilihan raya menjejaskan proses demokrasi negara dengan merosakkan pilihan raya yang bebas dan adil.
“Pihak yang mempunyai sumber boleh ‘membeli’ undi dan akhirnya, kuasa politik, katanya.
Fann menyalahkan kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, yang menyebabkan amalan ini sukar dikekang.
“Akta Kesalahan Pilihan Raya perlu dikuatkuasakan. Jika ahli politik kerap disabitkan (atas kesalahan menyogok), amalan seperti itu akan terhapus,” tambahnya.