
Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu, berkata ia tidak bermaksud untuk menghina institusi raja, dan beliau akan beri kerjasama kepada polis untuk menjelaskan fakta berkaitan kenyataannya.
“Saya ingin menegaskan bahawa ucapan saya di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
“Saya percaya kenyataan saya itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara,” katanya di Facebook.
Sebelum ini, tular ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang murka berkata kenyataan Muhyiddin itu secara sengaja dan sinis memperlekeh peranan Sultan Abdullah, memanipulasi fakta serta membawa naratif negatif seolah-olah baginda tidak berlaku adil semasa memilih perdana menteri ke-10.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata Muhyiddin dipanggil untuk beri keterangan, esok.