Salah lafaz talak melalui media sosial, kata kumpulan peguam

Salah lafaz talak melalui media sosial, kata kumpulan peguam

Persatuan Peguam Syarie Malaysia berkata ia satu kesalahan untuk melafazkan talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

social media
Moeis Basri berkata ia perkara biasa bagi umat Islam menggunakan media sosial melafazkan talak terhadap isteri.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan mewakili peguam syarie memberi amaran kepada suami beragama Islam supaya tidak melafazkan talak terhadap isteri mereka melalui media sosial kerana melanggar undang-undang keluarga Islam.

Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Moeis Basri memberitahu FMT, ia kesalahan boleh dihukum untuk melafazkan talak di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah Syariah.

Suami yang berbuat demikian boleh berdepan hukuman di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 iaitu denda RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semakan FMT mendapati peruntukan sama terkandung dalam enakmen atau ordinan undang-undang keluarga Islam semua negeri dan Wilayah Persekutuan.

Tetapi di Perak, hukumannya lebih berat – denda tidak lebih RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rabu lalu, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membangkitkan isu suami Islam melafazkan talak melalui video atau WhatsApp dengan merujuk kes seorang pelakon terkenal diceraikan suaminya melalui rakaman video.

“Apa yang akan difikirkan oleh masyarakat tentang kami, lelaki Muslim, yang tidak berani menceraikan isteri di hadapan saksi yang sah?” kata Zaid.

Perlu perintah Mahkamah Syariah

Moeis berkata, kemunculan teknologi menyebabkan ia perkara biasa bagi suami Muslim menggunakan saluran lain melafazkan talak terhadap isteri.

Tetapi, katanya jika talak itu dilafazkan melalui cara sedemikian, pasangan itu masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.

“Jadi, mana-mana pihak kemudiannya perlu memfailkan laporan kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan perintah cerai secara rasmi,” katanya sambil menambah sebelum mahkamah mengeluarkan perintah cerai rasmi, ia perlu menyiasat untuk memastikan tiada unsur paksaan dan suami waras ketika melafazkan talak.

Beliau berkata selepas mahkamah berpuas hati semuanya dibuat mengikut syarat, perceraian itu dianggap berkuat kuasa dari tarikh lafaz talak.

Alat penghinaan awam

Sisters in Islam (SIS) berkata klinik guaman percumanya, Telenisa menerima lebih 10 kes wanita diceraikan suami yang melafazkan talak melalui media sosial.

“Ramai berkongsi kisah suami enggan berjumpa mereka secara peribadi, memutuskan semua cara berkomunikasi, berkahwin dengan wanita lain, bahkan enggan ke Mahkamah Syariah memfailkan cerai,” katanya kepada FMT sambil menambah tindakan itu menyebabkan isteri digantung tak bertali, terjejas dari segi emosi dan terpaksa mengharungi kesan kompleks sendiri.

Walaupun talak kaedah sah untuk membubarkan perkahwinan, SIS berkata ia perlu mengikut prosedur betul dan sah, iaitu Mahkamah Syariah.

“Mengisytiharkan talak melalui media sosial melangkau langkah kritikal ini, membawa kepada perceraian tidak bermaruah. Ia menjadi pengalaman menyakitkan dan tontonan umum, menyebabkan isteri mengalami penghinaan dan gangguan tidak perlu.”

Menurutnya amalan ini boleh membayangkan isteri bersalah dan tindakan suami wajar, sekali gus mengekalkan dinamik kuasa berbahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.