Keluarga tuntut jenazah Cikgu Istiqomah

Keluarga tuntut jenazah Cikgu Istiqomah

Ibu mangsa, Saliha Ya berkata pelbagai persiapan dilakukan di Pasir Mas, Kelantan bagi tujuan pengebumian jenazah anaknya.

Ahli keluarga dibenarkan menuntut jenazah Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi di Jabatan Forensik Hospital Melaka hari ini.
PETALING JAYA:
Suami kepada Cikgu Istiqomah Ahmad Rozi tiba di Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi menuntut jenazahnya.

Harian Metro melaporkan Mohd Yusof Mokhtar, 35, tiba bersama beberapa ahli keluarga pada 11.45 pagi tadi bagi proses serahan jenazah.

Ibu mangsa, Saliha Ya, 58, pula berkata keluarganya difahamkan urusan menuntut jenazah boleh dilakukan mulai 12 tengah hari atau selepas 2 petang ini.

“Saya berdoa supaya urusan tuntutan jenazah berjalan lancar. Malah, sudah membuat pelbagai persiapan di Pasir Mas, Kelantan bagi tujuan pengebumian jenazah.

“Walaupun masih terkilan dengan kejadian menimpa arwah, namun saya dan keluarga reda serta mendoakan kekuatan bagi menantu dan cucu,” katanya yang bertolak dari Kota Masai, Pasir Gudang ke Melaka pada 7 pagi tadi.

Istiqomah, 33, guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja pada 26 Dis 2023.

Awal Januari lalu, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki yang ditemui dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis 2023 disahkan milik Istiqomah selepas ujian DNA dijalankan ke atas ibu mangsa.

Susulan itu, sepasang suami isteri ditahan di Chemor, Perak pada 6 Ogos lalu. Suspek lelaki dikenal pasti kenalan mangsa ketika belajar di universiti.

Pagi tadi, Mohd Fadzly Ariffadzilah, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas dakwaan membunuh ibu tiga anak itu Disember lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan itu di depan Majistret Teoh Shu Yee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.