Henti guna sentimen agama kalau mahu ‘rampas’ Mahkota, PN diberitahu

Henti guna sentimen agama kalau mahu ‘rampas’ Mahkota, PN diberitahu

Penganalisis menyarankan PN menukar strategi berkempen ketika menghadapi PRK Mahkota pada 28 Sept nanti.

bendera PN perikatan nasional
Perikatan Nasional (PN) tewas pada PRU14 dan PRN Johor 2022 di DUN Makota, masing-masing kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) perlu meninggalkan kempen sentimen perkauman dan agama pada PRK Mahkota jika enggan kalah lagi seperti di Nenggiri, kata penganalisis politik.

Penganalisis politik Mazlan Ali berpendapat pengundi kawasan DUN yang terletak di Parlimen Kluang itu tidak terpedaya dengan permainan politik sempit yang tidak laku di Johor.

“PN mesti ubah cara kempen, jangan lagi guna isu kaum dan agama,” kata pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu kepada FMT.

“Di Johor, isu kaum tidak laku. (Pengundi) lihat parti yang jaga semua kaum. PN kena ubah pendekatan kempen.”

Sebagai rekod, PN kalah dua kali berturut-turut pada PRU14 dan PRN Johor 2022, masing-masing kepada Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN).

SPR menetapkan 28 Sept depan sebagai tarikh PRK Mahkota yang diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain dari BN pada 2 Ogos lalu.

Beliau menang kerusi itu dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Amanah yang mewakili PH, PN dan Warisan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar pula berpandangan Bersatu dan PAS perlu menyelesaikan masalah dalaman mereka selepas isu calon ‘hibrid’ di Nenggiri mencalarkan imej mereka.

Calon mewakili PN pada PRK Nenggiri, Rizwadi Ismail, 41 ialah bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang yang dilaporkan menyertai Bersatu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon.

PRK itu menyaksikan BN merampas semula kerusi Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi.

“Mahkota patut jadi ‘turning point’ untuk PN guna strategi berbeza, guna pendekatan kepelbagaian kaum yang sepatutnya dimainkan parti yang mengharapkan sokongan semua kaum untuk menang.

“Kalau tidak, (kempen) hanya disudutkan kepada Melayu, Islam … sedangkan di Mahkota, (PN) perlu sokongan daripada pelbagai pengundi,” katanya.

Beliau berkata, PN masih berpeluang merebut undi bukan Melayu di Mahkota memandangkan rekod pada PRK Sungai Bakap menunjukkan golongan pengundi itu tidak teruja keluar mengundi calon kerajaan perpaduan.

“Antara ujiannya, sama ada undi bukan Melayu akan ‘full swing’ sokong calon BN, atau teragak-agak untuk keluar (mengundi) seperti yang berlaku di Sungai Bakap,” katanya.

Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya turut bersetuju bahawa pengundi tidak lagi melayan retorik sempit ketika kempen, sebaliknya mahu mendengar kritikan membina.

“Tukar strategi kempen dan ceramah, tidak lagi fokus retorik sentimen perkauman dan keagamaan.

“Fokus kritikan dasar secara konstruktif, ini yang orang mahu lihat daripada pembangkang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.