
Beliau berkata tindakan itu sejajar titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung isu integriti dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya percaya perolehan ada pelbagai dan Sultan Ibrahim sebagai ‘supreme commander’ (pemerintah tertinggi ATM) sentiasa mempunyai akses kepada perkara yang kita lakukan,” katanya menurut Harian Metro.
“Kita akan sentiasa beri kerjasama (kepada Sultan Ibrahim), namun secara spesifik, buat masa ini tiada (isu) dan kita pun ikut apa yang diluluskan Kementerian Kewangan, baru kita tahu apa nak dibeli.”
Media sebelum ini melaporkan Sultan Ibrahim bertitah kedaulatan dan maruah negara akan tergadai, jika rasuah dan salah guna kuasa diamalkan dalam kalangan pegawai tentera.
Selaku pemerintah tertinggi ATM, Sultan Ibrahim bertitah tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah.
Khaled berkata kementeriannya mengambil maklum titah Sultan Ibrahim berhubung kepentingan integriti pegawai dan anggota, khasnya perolehan tentera bagi menjamin kedaulatan negara.
Menurutnya tindakan itu sebahagian usaha menyokong inisiatif kerajaan ke arah tatakelola baik membabitkan setiap cabang pentadbiran negara.