Millah Abraham mahu tubuh ‘negara’ sendiri, kata exco

Millah Abraham mahu tubuh ‘negara’ sendiri, kata exco

Exco Johor Mohd Fared Mohd Khalid hasil siasatan pihak berkuasa agama dan Cawangan Khas polis dapati Millah Abraham sampai satu peringkat mahu berkerajaan sendiri.

Mohd Fared Mohd Khalid
Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata ajaran itu ada risiko ancam keselamatan dan menggugat keharmonian negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ajaran Millah Abraham didakwa mahu menubuhkan ‘negara dan berkerajaan sendiri’, kata Exco Hal Ehwal Agama Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Katanya, hasil pemantauan mendapati ajaran terbabit berisiko mengancam keselamatan serta menggugat keharmonian negara.

“Hasil pemantauan dan risikan jabatan agama Islam dan Cawangan Khas polis, mereka (Millah Abraham) mempunyai struktur mereka sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.

“Jadi, kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.

“Kita bimbang menimbulkan sebarang kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya menurut Harian Metro di Batu Pahat.

Beliau berkata, kepimpinan ajaran sesat Millah Abraham wujud di seluruh negara dan menjadi buruan pihak berkuasa.

Fared meminta orang ramai agar tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan Millah Abraham kerana ia menjadi kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.

Media sebelum ini melaporkan lelaki lingkungan 50-an disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf ‘menteri’ dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat.

Pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu yang dihadapkan ke mahkamah rendah syariah, disyaki pengikut ajaran berkenaan.

Ajaran Millah Abraham mengajar sembelihan dibuat bukan ahlinya tidak sah, selain percaya kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza. Ajaran itu dikatakan mahu menggabungkan tiga agama Yahudi, Nasrani, dan Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.