Mayat kanak-kanak hilang ditemukan dalam paya

Mayat kanak-kanak hilang ditemukan dalam paya

Nuraina Humaira Rosli, 10, dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ketika bermain di sekitar kawasan Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.

Mayat mangsa ditemui petang semalam selepas polis menggerakkan usaha pencarian dengan bantuan unit anjing pengesan K9, beberapa agensi serta penduduk setempat. (Gambar Jakoa)
PETALING JAYA:
Mayat kanak-kanak perempuan 10 tahun ditemukan dalam kawasan berpaya dekat Pos Kuala Mu, Sungai Siput selepas dilaporkan hilang semalaman.

Mangsa yang juga anak Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli, dilaporkan hilang ketika bermain di sekitar kawasan Kampung Bersah sebelum mayatnya ditemukan pada 4.20 petang semalam.

Ketua Polis Sungai Siput, Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata polis menerima maklumat kehilangan mangsa kira-kira 1.20 pagi semalam yang mengatakan murid Tahun 4 Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu tidak pulang sejak Jumaat.

Katanya, mereka mula melakukan operasi mencari termasuk menggunakan bantuan unit anjing pengesan K9 dan bantuan beberapa agensi serta penduduk setempat.

“Pencarian mangsa yang dimulakan pagi semalam dibuat dalam radius sekitar 2 kilometer sebelum mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam yang turut mengikuti operasi pencarian sekitar 4.20 petang.

“Mangsa dijumpai terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit, ” katanya ketika dihubungi hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.

“Buat sementara ini, kematian mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu hasil keputusan bedah siasat.

“Tiada kesan (serangan binatang buas) berdasarkan pemerhatian mata kasar. Bagaimanapun bedah siasat dijadualkan di Hospital Sungai Siput hari ini dibantu pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.