
Aktivis Komeok Joe, yang mengetuai Keruan — sebuah organisasi akar umbi Penan — menyatakan bahawa walaupun separuh nomad, kaum Penan di tapak seluas 87,000ha ini masih mempunyai hubungan kuat dengan hutan.
“Secara budaya, komuniti ini masih berpegang teguh kepada tradisi Penan,” katanya.
Beliau berkata, menjadikan Magoh sebagai tapak rizab biosfera boleh membantu melindungi budaya separuh nomad komuniti ini.
Minggu lalu, sekumpulan orang Penan mengembara lebih 500km ke Kuching untuk menyerahkan petisyen kepada Premier Sarawak Abang Johari Openg, untuk mempertimbangkan cadangan mereka.
Petisyen itu ditandatangani 96 orang Penan daripada 15 komuniti.
Ini bukan kali pertama komuniti tersebut melobi untuk menjadikan kawasan yang terletak di antara Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Pulong Tau sebagai rizab biosfera.
Pada 1987, mereka membuat permohonan sama ketika Abang Johari menjadi menteri hal ehwal Penan, atas alasan mahu melindungi hutan tersebut.
Komeok berkata, status Unesco akan menghalang pembalakan tanpa kawalan, sambil menambah komuniti tersebut pernah membuat sekatan untuk menghalang syarikat pembalakan daripada masuk ke hutan itu.
“Ketiadaan persetujuan bebas, awal dan dimaklumkan adalah isu besar bagi banyak kampung Penan. Selalunya komuniti Penan tidak dirujuk sama sekali dan diabaikan oleh syarikat pembalakan,” katanya.
Magoh juga terkenal dengan nilai pemuliharaan yang tinggi, dengan hutan hujan primer dan sekunder.
Ia berfungsi sebagai habitat kritikal bagi beberapa mamalia terancam, termasuk tenggiling, beruang matahari, dan harimau dahan, serta beberapa spesies burung enggang yang jarang ditemui.
Timbalan Pengarah NGO alam sekitar Bruno Manser Fond, Johanna Michel, berkata Magoh masih kawasan utama biodiversiti dan habitat penting bagi spesies terancam.
“Status rizab biosfera pastinya akan menghalang lebih banyak pembalakan, mengekalkan koridor hidupan liar yang penting antara Taman Negara Pulong Tau dan Tapak Warisan Dunia Unesco di Taman Negara Gunung Mulu,” tambahnya.