Ramai orang muda dijangka sertai sektor awam susulan pelarasan gaji

Ramai orang muda dijangka sertai sektor awam susulan pelarasan gaji

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata pihaknya menjangkakan akan menerima sehingga beratus ribu permohonan susulan pengumuman itu.

Pekerja Kerajaan
Penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji antara 7 hingga 15% melalui pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam mulai 1 Dis seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.
IPOH:
Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjangkakan dapat menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor awam susulan pengumuman mengenai pelarasan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula Disember ini.

Pengerusi SPA, Ahmad Jailani Muhamed Yunus, berkata hal ini kerana kenaikan gaji penjawat awam dapat memberi suntikan semangat kepada golongan muda, terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan siswazah kerana diyakini lebih terjamin dari segi elemen sekuriti dalam perkhidmatan awam.

“Saya yakin akan ada tambahan sehingga beratus ribu dalam permohonan (SPA), cuma dari segi data permohonan kita akan memperolehnya pada suku pertama tahun depan.

“Jadi, kita sentiasa bersiap siaga untuk menerima seberapa banyak permohonan dan kita akan meningkatkan lagi kemudahan (permohonan menerusi portal dalam talian),” katanya ketika ditemui pemberita bersempena dengan Program Hari Terbuka SPA @ Perak 2024 di sini hari ini.

Pada masa sama, Jailani turut menasihati pemohon supaya sentiasa berhati-hati semasa membuat permohonan SPA agar tidak tertipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita nasihatkan kepada semua kumpulan sasar supaya mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan Job Scam,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di Putrajaya, mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Anwar yang juga menteri kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.