
Zakaria Mamat, 64, yang menjadi pengundi pertama berkata dia bangun seawal 5.30 pagi dan tiba 7.30 pagi di Tabika Sri Bakawali, Bertam Lama untuk mengundi wakil rakyat yang baharu.
“Saya teruja dan pada masa sama berdebar. Alhamdulillah menjadi pengundi pertama. Anak saya terdiri daripada 14 orang termasuk tujuh di luar kawasan juga turut pulang mengundi,” katanya.
Manakala seorang wanita sarat mengandung, Che Nurul Amira Che Mat, 35, juga lega dapat menunaikan tanggungjawab mengundi sebelum bersalin.

“Hari ini kandungan saya sudah memasuki 35 minggu dan sudah terasa sakit. Namun, saya gagahi juga datang bersama suami, Abdul Hadi Abdul Wahab, 35, dan anak bongsu.
“Pada awalnya, saya menjangkakan tidak dapat turut serta mengundi kerana memikirkan keadaan yang akan bersalin,” katanya.
PRK Nenggiri yang berlangsung hari ini menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan PAS yang diwakili Rizwadi Ismail.
PRK Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas setelah bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Seramai 20,216 pengundi akan menunaikan tangggungjawab masing-masing hari ini.