PM mahu penjawat awam masuk tepat pada waktu mula Isnin

PM mahu penjawat awam masuk tepat pada waktu mula Isnin

Anwar Ibrahim berkata KSN dan KPPA sudah diminta mengambil tindakan segera jika berlaku kecuaian dan kelemahan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata prestasi penjawat awam mesti dipaparkan bagi memastikan nama baik perkhidmatan.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat penegasan antaranya penjawat awam masuk pada waktunya bermula Isnin ini bagi memastikan nama baik perkhidmatan awam selaras pengumuman pelarasan gaji diumumkan semalam.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz diminta mengambil tindakan segera jika berlaku sebarang kecuaian dan kelemahan dalam sistem perkhidmatan awam.

“Pada pertemuan semalam, tatkala kita umumkan pelarasan gaji penjawat awam ada janji dan ikrar bahawa mulai Isnin ini, setiap pejabat akan pastikan penjawat awam masuk pada waktunya dan bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka.

“Saya harap rakyat boleh menilai, kalau ada di mana-mana pejabat daerah atau pejabat persekutuan atau agensi ada kelemahan mesti segera melaporkan kerana kita (sudah) bagi ganjaran (kenaikan gaji). Kalau ada kecuaian, saya sudah minta KSN dan KPPA ambil tindakan segera,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Selatan di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.

Semalam, beliau mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15% kepada pegawai kumpulan pelaksana serta pegawai kumpulan pengurusan dan profesional, manakala tujuh peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi.

Anwar turut mengumumkan reformasi perkhidmatan awam iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan daya saing negara.

Perdana menteri berkata, ketika ini prestasi perkhidmatan kerajaan bukan dinilai oleh pemimpin seperti ketua menteri dan menteri besar, sebaliknya oleh rakyat.

“Rakyat yang nilai…mereka yang tunggu di Jabatan Pengangkutan Jalan, pejabat imigresen, kastam atau pejabat tanah…kalau macam dulu juga prestasinya, pasti rakyat akan persoal mengapa kerajaan beri ganjaran tapi kerjanya seperti dulu.

“Bila kita katakan tahap kecekapan penjawat awam, bermakna orang kampung tidak perlu tunggu berjam-berjam untuk mendapatkan kelulusan atau bertemu pegawai kerajaan. Kalau ini semua ada maka reformasi dalam sistem perkhidmatan awam akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.