
Pengerusi BN Zahid Hamidi juga berharap kejayaan itu menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan.
“Dengan mandat ini, kita raikan dengan penuh tawaduk dan keinsafan bahawa jalan perjuangan masih panjang serta usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan BN akan tetap diteruskan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ikhtiar melakar kejayaan yang lebih bermakna di masa hadapan. Terima kasih Nenggiri,” katanya menerusi catitan di Facebook.
Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga ketua Pemuda Umno Kelantan, menang pada PRK Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.
Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.
Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pilihan Raya DUN Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahmad Jazlan Yaakub selaku pengarah operasi serta seluruh jentera BN dan semua jentera parti di bawah kerajaan perpaduan yang bertungkus lumus membantu bagi memastikan kemenangan Azmawi.
“Tiada ungkapan lebih besar dapat saya ungkapkan selain Engkaulah Yang Memberikan Kekuasaan Ya Allah.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya sampaikan kepada seluruh pengundi di N43 DUN Nenggiri yang telah memberikan kepercayaan semula buat Barisan Nasional untuk kembali berkhidmat kepada rakyat di sini,” katanya.