Gandakan komunikasi, Zahid sedar prestasi kerajaan belum bangkit sentimen positif

Gandakan komunikasi, Zahid sedar prestasi kerajaan belum bangkit sentimen positif

Pengerusi BN berkata perlu digandakan usaha beri penjelasan dan jawab kebimbangan rakyat dalam platform dalam talian.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata penambahbaikan perlu dilakukan dalam platform dalam talian terutama dalam berkomunikasi dengan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) sedar sentimen positif terhadap prestasi kerajaan semasa belum menyebelahi kerajaan perpaduan, kata Pengerusi Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden Umno dan timbalan perdana menteri, berkata usaha perlu digandakan bagi memberi penjelasan serta menjawab segala kebimbangan dibangkitkan rakyat.

Katanya, pendekatan baharu wajib dilakukan kepimpinan khususnya menerusi dalam talian.

“Perkembangan landskap politik yang baru belum cukup menggugat. Penambahbaikan mesti dibuat kerana peluang banyak di sana. Namun, kita juga harus berusaha bekerja di luar kotak atau tanpa kotak dalam proses membuat keputusan.

“Namun, keputusan penting lazimnya selain dibawa ke Kabinet dan difahami ahli Jemaah Menteri, mestilah difahami kepimpinan parti bukan saja peringkat nasional tapi bawahan,” katanya menurut Berita Harian pada wawancara khas sempena Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Dalam pada itu, perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin parti kerajaan perpaduan bukannya liabiliti sehingga menghakis sokongan ahli parti.

Zahid menegaskan, setiap pandangan berbeza dilontarkan sesetengah pemimpin dalam parti kerajaan perpaduan hanya ‘bersifat pandangan individu’ bukannya pendirian rasmi parti.

“Dalam keadaan sekarang, perbezaan pendapat itu memang kita raikan.

“Semua parti politik meraikan perbezaan politik dalaman dan jika sesebuah parti didapati memberikan pandangan agak berbeza dan itu pandangan dikeluarkan bukan peringkat kepimpinan atasan parti, tapi pertengahan dan bawahan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar perbezaan pendapat disuarakan tidak sampai menenggelamkan komitmen mahu dibawa kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.