Saya tak pernah arah Google tutup ciri tukaran ringgit, kata Fahmi

Saya tak pernah arah Google tutup ciri tukaran ringgit, kata Fahmi

Google melakukan kesilapan menerbitkan data kadar tukaran ringgit sebanyak dua kali tahun ini sehingga menimbulkan pertikaian di media sosial.

fahmi
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Google menurunkan ciri itu selepas mendapat maklum balas Bank Negara Malaysia mengenai kesilapan data dipaparkan.
PETALING JAYA:
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah mengarahkan Google menyahaktifkan ciri graf pertukaran nilai mata wang ringgit di enjin cariannya.

“Saya tidak pernah arah Google tutup ‘currency exchange’ di ‘search box’ seperti yang saudara tuduh,” katanya di X menjawab tuduhan seorang pengguna platform itu, Khairi Zulfadhli.

Individu berkenaan mendakwa beliau terpaksa menukar nilai mata wang ke dolar Singapura (SGD) terlebih dahulu sebelum menukar kepada ringgit.

“Fahmi Fadzil arahkan Google tutup ‘currency exchange’ di ‘search box’. Dah satu hal kena search SGD dulu baru tukar ke MYR,” tulisnya.

Menjelaskan perkara itu, Fahmi berkata, Google menurunkan ciri berkenaan selepas mendapat maklum balas Bank Negara Malaysia mengenai kesilapan data dipaparkan.

“Pihak Google memaklumkan mereka masih menjalankan ujian dengan pembekal data FX yang dikenal pasti dan akan kembalikan ciri itu bila mereka lebih yakin kesilapan data tidak lagi berulang,” jelasnya.

Mac lalu, Fahmi menjelaskan tindakan Google menyahaktifkan ciri tukaran MYR di enjin cariannya bukan atas arahan mana-mana pihak, sebaliknya bagi menyelesaikan beberapa aspek teknikal.

Google melakukan kesilapan dalam menerbitkan data kadar pertukaran ringgit sebanyak dua kali tahun ini, iaitu pada 6 Feb dan 15 Mac lalu sehingga menimbulkan pertikaian di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.