
Tinjauan FMT mendapati, mesin ditempatkan di sebuah premis di Kampung Jerek mula beroperasi semalam iaitu kurang tiga hari menjelang PRK Sabtu ini.

Penduduk, Mohamad Razali, 55, lega apabila kini tidak perlu lagi keluar dari kampungnya sejauh 50km untuk mengeluarkan wang.
“Syukur selepas ini saya tak perlu lagi ke bandar Gua Musang, atau Dabong untuk ambil duit. Nak masukkan duit untuk anak-anak belajar pun senang,” katanya.
Manakala, Othman Yusof, 62, berharap penduduk Nenggiri tidak mensia-siakan kemudahan itu dan menjaganya dengan baik.

“Kami berterima kasih juga dengan berlangsungnya PRK ini. Jika tidak ada PRK, mungkin kami tidak dapat merasa dan perlu tunggu bertahun lagi untuk menggunakan ATM,” katanya.
Masalah membelenggu penduduk Nenggiri sebelum ini mendapat perhatian Kementerian Kewangan yang memaklumkan pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan bagi memenuhi keperluan mereka.
Pengumuman itu menyusul perbincangan dengan beberapa bank tempatan, yang memberikan respons positif.
Pada 8 Ogos lalu, FMT melaporkan penduduk Nenggiri berdepan kesukaran mengeluarkan wang dan melakukan transaksi perbankan lain susulan ketiadaan ATM, ditambah pula akses internet kurang memuaskan.
Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa keluar lebih 50km ke bandar Gua Musang serta Dabong untuk mengeluarkan wang sehingga ada terpaksa membayar tambang kereta sewa sekitar RM50 kerana tiada kenderaan.