10 cedera reaktor kilang terbakar di Bintulu

10 cedera reaktor kilang terbakar di Bintulu

Semua mangsa yang cedera termasuk empat yang melecur dirawat di Hospital Bintulu.

kilang terbakar
Tangkap layar video tular menunjukkan letupan dan bebola api yang besar dari sebuah kilang yang terbakar di Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu, semalam. (Gambar Facebook)
SIBU:
Seramai 10 orang cedera termasuk empat melecur dalam kebakaran melibatkan tangki ‘Bottom Reactor’ di sebuah kilang dimiliki pelabur asing di Taman Perindustrian Samalaju, Jalan Pesisir Bintulu-Miri, Bintulu, semalam.

Beberapa rakaman video berkaitan kejadian itu yang ditularkan di media sosial menunjukkan letupan dan bebola api yang besar di udara serta asap tebal dari kilang tersebut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGOB) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada jam 6.24 petang.

“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dan dipadam Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) kilang tersebut sebelum ketibaan bomba.

Menurut PGOB semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Pengurusan kilang maklum hanya memerlukan bomba dilokasi untuk bersedia,” katanya.

Jurucakap itu berkata pihaknya tidak mempunyai butiran terperinci semua mangsa berkenaan berikutan pemilik kilang tersebut tidak mendedahkan butiran malah gambar kejadian tidak dibenarkan dirakam.

Sebaik sahaja menerima panggilan kejadian tersebut pada jam 6.24 petang pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju telah digerak dan tiba di lokasi pada jam 6.28 petang melibatkan jarak perjalanan lima kilometer.

Menurutnya kebakaran sudah terkawal jam 7 malam oleh pihak syarikat dan pihak bomba berada di lokasi sehingga sekitar jam 10.30 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.