
Majistret Fatin Dalilah Khalid di Muar mengeluarkan perintah reman hingga 20 Ogos ini terhadap suspek berusia 48 tahun itu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302, Seksyen 436 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, polis IPD Muar dengan kerjasama anggota IPK menahan suspek yang didapati merayau sekitar Bukit Bintang bersama beg pakaian pada 1 pagi tadi.
Difahamkan suspek melarikan diri ke Kuala Lumpur pada hari kejadian dengan menaiki bas, manakala motosikalnya ditinggalkan di Terminal Bas Bentayan di Muar, lapor Berita Harian.
Sebelum tangkapan dibuat, polis menerima maklumat mengenai suspek yang dilihat dalam rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Dalam kejadian pada 1.30 pagi Jumaat lepas, tiga sekeluarga terkorban akibat kebakaran di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh.
Mangsa yang maut terdiri daripada Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; isterinya, Ara Abd Hamid, 76; serta cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11.
Seorang lagi mangsa terbabit, Norazima Mohd Radhi, 14, terselamat namun cedera di kepala dan patah pergelangan tangan kanan. Dia kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Kes pada mulanya disiasat sebagai mati mengejut, namun diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan laporan bedah siasat Noradriana mendapati terdapat kesan retakan di kepala dipercayai akibat dipukul dengan kayu.
Susulan kejadian, polis memburu suspek yang juga anak pasangan warga emas terbabit serta bapa saudara Noradriana dan Norazima bagi membantu siasatan.
Terdahulu dilaporkan penduduk kampung melihat kelibat suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian.