Siasatan kontrak Asia Mobiliti selesai dalam 2 bulan, kata SPRM

Siasatan kontrak Asia Mobiliti selesai dalam 2 bulan, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata siasatan itu termasuk isu tadbir urus, khasnya yang membabitkan saudara-mara.

amirudin shar
Asia Mobiliti antara dua syarikat diberikan projek rintis Demand Responsive Transit oleh kerajaan Selangor.  (Gambar Asia Mobiliti)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan siasatan ke atas pemberian sebuah projek kerajaan Selangor kepada syarikat diasaskan bersama suami seorang menteri akan selesai dalam tempoh dua bulan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata pihaknya turut akan meneliti isu tadbir urus dalam kes itu.

“Ia masih dalam siasatan. Kita melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik pada masa akan datang, terutamanya isu tadbir urus dan tatakelola apabila (projek itu) melibatkan saudara-mara.

“Saya rasa dalam tempoh sebulan, dua lagi siaplah siasatan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sebuah program SPRM di sini.

Mei lalu, persoalan timbul berhubung kemungkinan layanan keutamaan dan konflik kepentingan susulan pendedahan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) antara dua syarikat kerajaan negeri diberikan projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) tanpa melalui tender terbuka.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti, M Ramachandran, adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Sebelum ini, SPRM dilaporkan berkata, ia sedang menyiasat petunjuk baharu dalam kontrak itu, manakala Yeoh pula mengalu-alukan siasatan itu dan mahu melihat kebenaran serta bukti yang mewajarkan dakwaan itu daripada siasatan terbabit.

Siasatan ke atas HRD Corp

Azam berkata, pegawainya memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp). Siasatan itu bermula awal bulan lalu.

“Perlu dapatkan input daripada banyak pihak. Semua isu yang dibangkitkan kita siasat, tak ada yang kita tinggalkan.

“Pegawai-pegawai saya beritahu mereka perlukan lebih banyak masa untuk siasat dakwaan berkaitan pelaburan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.