Siasat tanpa kompromi kegiatan ‘e-waste’ haram, tegas Tengku Mahkota Pahang

Siasat tanpa kompromi kegiatan ‘e-waste’ haram, tegas Tengku Mahkota Pahang

Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah beri sokongan penuh kepada polis untuk pergiat operasi membanteras aktiviti haram.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mahu agensi penguat kuasa tingkat penguatkuasaan bagi membendung jenayah alam sekitar. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah meminta siasatan dibuat secara telus dan tanpa kompromi berhubung kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) secara haram.

Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan siasatan jenayah pengubahan wang haram atas kejayaan menumpaskan kes berkenaan, khususnya di Salong, Pekan, dan Bukit Ibam di Muadzam Shah.

Menerusi kenyataan media, Tengku Hassanal memberikan sokongan penuh kepada polis untuk mempergiatkan operasi membanteras aktiviti haram.

Baginda meminta agensi penguat kuasa yang lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar Negeri serta pihak berkuasa tempatan meningkatkan penguatkuasaan dengan lebih tegas bagi membendung jenayah alam sekitar.

Dalam pada itu, Tengku Hassanal meminta semua pihak menjunjung titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar menjaga khazanah berharga seperti flora dan fauna serta sumber air.

Polis menahan 55 individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ kerana disyaki menjalankan kegiatan memproses sisa buangan elektrik dan elektronik secara haram dalam serbuan di tujuh kilang di beberapa negeri minggu lepas.

Siasatan bermula selepas dimaklumkan secara peribadi oleh seorang kerabat diraja mengenai keresahan rakyat berhubung kesan buruk kegiatan kilang memproses sisa elektronik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.