Kerja baik pulih Pusat Akuatik MBJB tercemar e-coli bermula

Kerja baik pulih Pusat Akuatik MBJB tercemar e-coli bermula

Onn Hafiz Ghazi berkata, ia membabitkan penukaran sistem antikarat dan jubin di kolam terjun serta kolam renang, selain memastikan sistem saliran air benar-benar bersih.

Kerja membaik pulih Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru sedang dilaksanakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerja membaik pulih dan membersihkan Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin di Johor Bahru yang dicemari bakteria escherichia coli (e-coli) mula dilaksanakan, kata Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi.

Pusat akuatik itu ditutup sejak akhir bulan lalu selepas 19 daripada 900 peserta Kejohanan Akuatik MSSJ 2024 yang mengalami gejala muntah-muntah, demam serta kulit gatal dikejarkan ke hospital dipercayai akibat pencemaran air dalam kolam renang serta kolam terjun.

Onn Hafiz berkata, kerja baik pulih itu membabitkan penukaran sistem antikarat dan jubin di kolam terjun serta kolam renang, selain memastikan sistem saliran air benar-benar bersih.

Menurutnya, ia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna serta memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kualiti dan kebolehpercayaan fasiliti sukan di Johor.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja (baik pulih) ini dijangka siap sepenuhnya November tahun ini, dengan pembukaan semula kepada orang awam dijadualkan pada awal Januari 2025.

“Insya Allah, usaha berterusan akan diambil untuk memastikan semua fasiliti di negeri ini berada dalam keadaan terbaik,” katanya dalam catatan Facebooknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.