
Ketika ini, Marlida Mat Dan, 40, terpaksa mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membeli generator untuk mendapat bekalan elektrik, selain bahan bakar diesel yang kini meningkat kepada RM3.35 seliter sejak 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia.
Peneroka generasi kedua itu mendakwa pihak pengurusan Felda tidak mengeluarkan surat kebenaran bagi membolehkan bekalan elektrik disambung ke kediamannya memandangkan status tanah tapak rumahnya masih di bawah syarikat berkenaan.
Marlida memberitahu sewaktu bapanya meneroka tanah itu 40 tahun lalu, pengurusan Felda mengizinkan mereka mendiaminya, namun kini status tapak rumahnya terletak berhampiran Klinik Kesihatan Perasu berlainan pula.

“Saya hairan banyak kediaman lain dibina di atas tanah belum diberikan geran itu, tetapi boleh pula buat sambungan elektrik ke rumah masing-masing.

“Giliran saya dan beberapa penduduk lain tak boleh pula,” katanya kepada FMT.
Enggan menyalahkan mana-mana pihak, Marlida berharap pengurusan Felda dapat memberikan kebenaran dan memudahkan proses penyambungan bekalan elektrik bagi membantunya menikmati kehidupan lebih selesa.
“Saya merayu tolong mudahkan urusan saya…tapak tanah ini kami bayar deposit, bukan ambil dari peneroka lain.
“Sudah beberapa kali naik turun pejabat Felda, tanah dan Tenaga Nasional Berhad,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Felda Perasu Mohd Arif Ariffin mengakui permasalahan itu dihadapi peneroka generasi kedua yang mahu membina rumah.
“Bukan rumah Marlida sahaja tiada elektrik, sebelum ini pun ada beberapa penduduk yang telah siap bina rumah, tapi tak dapat duduk sebab elektrik tiada, namun bekalan air ada pula.

“Saya harap kerajaan dapat selesaikan masalah ini, tiada niat mahu bergaduh, tetapi harap selesai secara baik,” katanya.
FMT sedang menghubungi pengurusan Felda untuk mendapatkan maklum balas lanjut.
Felda Perasu terletak di bawah DUN Nenggiri yang Sabtu ini menyaksikan PRK membabitkan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.