2 maut, 4 cedera kereta dirempuh jengkaut

2 maut, 4 cedera kereta dirempuh jengkaut

Kejadian mengorbankan seorang pelajar kolej itu dipercayai berlaku apabila kereta dinaikinya terbabas selepas cuba mengelak kon di atas jalan.

bomba
Pemandu dan penumpang sebuah kereta terbabas di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelam, Port Dickson disahkan maut di tempat kejadian setelah tersepit di dalam kenderaan. (Gambar JBPM)
SEREMBAN:
Dua maut manakala empat lagi cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah jengkaut yang sedang membantu kerja-kerja pemasangan kabel di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelam, Port Dickson awal pagi tadi.

Ketua Polis Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut dalam kejadian 1.45 pagi itu terdiri daripada pemandu lelaki berusia 24 tahun dan penumpang wanita yang merupakan pelajar kolej berusia 18 tahun.

Empat lagi penumpang berusia dalam lingkungan 16 hingga 19 tahun cedera ringan, manakala pemandu jengkaut tidak mengalami sebarang kecederaan, tambahnya.

Aidi Sham berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila kereta dari arah Port Dickson menghala ke Seremban itu cuba mengelak kon di atas jalan.

Kenderaan itu bagaimanapun terbabas dan merempuh sebuah jengkaut yang sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel bawah tanah.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu serta seorang penumpang kereta itu tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson untuk tindakan lanjut.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Port Dickson di talian 06-6472222, bagi membantu siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.