Program Citra Nusa erat hubungan Malaysia-Indonesia

Program Citra Nusa erat hubungan Malaysia-Indonesia

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan istimewa dari segi sejarah, budaya, kulinari serta bahasa.

Aaron Ago Dagan
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata hubungan Malaysia-Indonesia diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun sama perlu terus diraikan dengan semangat setiakawan utuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Citra Nusa @Indonesia: Kita Serumpun yang diadakan di Muzium Kebangkitan Nasional di Jakarta bakal meningkatkan kefahaman masyarakat negara itu terhadap Malaysia khususnya dari aspek sejarah dan budaya.

Acara anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Negara itu juga bertujuan mempromosikan konsep Malaysia Madani serta selari Piagam Asean iaitu Satu Visi, Satu Identiti serta Satu Komuniti Penyayang dan Prihatin.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan istimewa dan persamaan yang terbentuk daripada perkongsian ikatan sejarah, budaya, kulinari serta bahasa.

Katanya, sejarah kegemilangan kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka, Johor Lama, Perlak dan Pasai menjadi bukti ketamadunan di rantau ini.

“Hasrat yang tinggi untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang ikatan hubungan sejarah dan budaya antara kedua-dua negara menjadi asas kepada penganjuran program ini.

“Hubungan tradisi Malaysia-Indonesia diasaskan kepada nilai sepunya dari sudut rumpun yang sama perlu terus diraikan dengan semangat setiakawan utuh,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program itu di Muzium Kebangkitan Nasional, Jakarta.

Aaron berkata, pengisian utama program itu adalah pameran Kita Serumpun bermula 1-31 Ogos yang memaparkan diplomasi budaya kedua-dua negara bagi kefahaman masyarakat Indonesia terhadap Malaysia khususnya dari aspek sejarah dan budaya.

Katanya, turut diadakan Festival Kita Serumpun menampilkan persembahan kebudayaan, demonstrasi permainan tradisional, kulinari dan program pendidikan muzium yang melibatkan penyertaan enam negeri dari Malaysia iaitu Melaka, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah.

“Kefahaman ini perlu bagi menjamin kelestarian hubungan erat yang sedia terjalin sekali gus mengharmonikan isu tertentu antara kedua-dua negara termasuk yang meliputi bidang sejarah dan budaya.

“Penganjuran program seumpama ini juga diharap dapat menyuburkan semula minat masyarakat terhadap warisan khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan meremajakan muzium melalui seni dan teknologi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.