
Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, siasatan awal mendapati pada 15 April lepas, lelaki berusia 53 tahun itu terlihat iklan penjualan Mercedes-Benz pada laman sosial tersebut dan menekan pautan WhatsApp tertera.
Katanya, mangsa berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor, kemudiannya ditawarkan harga jualan sebanyak RM113,000 dengan ansuran bulanan RM1,328.80.
Beliau turut diyakinkan telah memenangi sebuah iPad sebagai hadiah cabutan bertuah
Azizi berkata, tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa memasukkan sebanyak RM2,680 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek sebagai wang pendaftaran, dan dijanjikan penghantaran kereta pada 19 April.
“Bermula 17 April hingga 25 Julai, mangsa tmembuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920.
“(Bayaran ini) bagi pelbagai tujuan, iaitu insurans, cukai jalan, AP permit, duti import, pengaktifan akaun, surat perjanjian jual beli dan duti setem,” katanya, lapor Bernama.
Suspek bagaimanapun masih meminta mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM20,000 bagi bayaran perjanjian jual beli yang tamat tempoh dan duti setem.
Mangsa yang mulai curiga dan merasakan proses pembelian terlalu rumit membuat laporan polis pada 6 Ogos dan kes sedang disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Justeru, Azizi menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian dan jangan mudah percaya dengan iklan jualan yang menawarkan harga murah atau istimewa yang tidak dapat dipastikan kesahihan.
Selain itu, katanya, orang ramai juga melihat sendiri kenderaan yang dijual di syarikat jualan kenderaan serta berbincang dengan ejen jualan yang sah.
“Pembeli juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon terlebih dahulu di portal Semakmule untuk mengenal pasti akaun yang terbabit dengan penipuan,” katanya.