
Wooi Yik berkata, sasaran mereka adalah berusaha mendapatkan pingat emas dalam kejohanan dunia yang lain.
“Saya dan Aaron selalu berbincang, kami mahu kerjasama ini berlangsung selama mungkin, kami sedar kami berpotensi untuk mendapat lebih baik lagi.
“Kami belum mencapai puncak tertinggi, sasaran kami adalah untuk berada di puncak dan memenangi kejohanan besar
“Kami menang pingat di beberapa kejohanan tetapi tidak semuanya pingat emas…jadi itu adalah sasaran kami seterusnya,” katanya pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Selain itu, Wooi Yik berkata keserasiannya dengan Aaron semakin baik dan matang yang akan membantu memantapkan persediaan ke Olimpik Los Angeles 2028.
“Untuk layak ke LA 2028 kami perlu pastikan kesiapsiagaan adalah terbaik, umur kami semakin meningkat, tetapi paling penting mengekalkan kedudukan 10 teratas,” katanya.
Pasangan itu menyumbang pingat pertama buat Malaysia di Olimpik Paris selepas kejayaan merangkul gangsa.
Pingat gangsa kedua negara turut disumbang jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia.