Keluarga Istiqomah mahu keadilan, hukuman setimpal

Keluarga Istiqomah mahu keadilan, hukuman setimpal

Keluarga guru wanita yang mayatnya ditemui tanpa kepala dan tangan di dalam tong sampah pada Disember lalu menyifatkan pembunuhan itu sangat kejam.

Polis mengesahkan mayat tanpa kepala dan kedua-dua tangan yang ditemui dalam tong sampah di di Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada Disember lalu disahkan milik Istiqomah Ahmad Rozi. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Keluarga Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru wanita yang mayatnya ditemukan dalam tong sampah tanpa kepala dan kedua-dua tangan pada Disember lalu, menyifatkan pembunuh wanita itu sebagai amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Suami Istiqomah, Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata beliau menuntut supaya keadilan ditegakkan, dengan pembunuh dan dikenakan hukuman keras yang setimpal.

“Kalau boleh hukuman gantung, saya mahukan keadilan untuk isteri saya, tak patut (diperlakukan sedemikian rupa).. dia isteri yang taat pada suami dan amat sayangkan anak-anaknya. Dia (isteri) seorang yang baik.

“Kalau ada apa-apa dia akan minta izin dengan saya terlebih dahulu. Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam (pelaku) buat macam itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Kota Masai.

Yusof berkata anak-anaknya Naura Auni, 9, Muhammad Naufal Amzar, 6 dan Nayla Aisya 4, tahu serta faham mengenai kejadian yang menimpa ibu mereka, dan mereka lebih banyak mendiamkan diri terutama anak sulungnya.

Ibu Istiqomah, Saleha Ya, 58, berkata kali terakhir beliau bertemu anaknya adalah ketika bercuti di Morib, Selangor kira-kira dua hari sebelum wanita itu dilaporkan hilang.

Beliau berkata semasa siasatan mengenai kehilangan anaknya itu dijalankan, beliau bersama-sama suaminya Ahmad Rozi Latimin, 64, yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan, membuat ujian DNA di IPD Seri Alam dan IPD Alor Gajah.

Rozi pula memberitahu jenazah anaknya akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelapa dalam masa terdekat, dan pada masa ini pihaknya masih menunggu proses bedah siasat selesai.

Terdahulu Ketua Polis Alor Gajah Ashari Abu Samah mengesahkan bahawa mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis lepas, adalah Istiqomah.

Beliau berkata polis telah menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan, dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.