Jemaah Menteri setuju meterai MoU perdagangan, tubuh majlis perniagaan Palestin

Jemaah Menteri setuju meterai MoU perdagangan, tubuh majlis perniagaan Palestin

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata nilai dagang dua hala meningkat 52.1% tahun lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata usaha itu mencerminkan sokongan Malaysia terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jemaah Menteri bersetuju Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama perdagangan dan ekonomi dengan Palestin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima kunjungan Duta Besar Palestin di Malaysia Walid Abu Ali di Menara Miti pagi tadi.

“Malaysia komited untuk membantu Palestin membangunkan semula ekonominya yang lumpuh.

“MoU ini akan saya tandatangani bagi pihak kerajaan Malaysia bersama rakan sejawat saya dari Palestin,” katanya dalam catitan di media sosial.

Tengku Zafrul berkata, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Palestin pada 2023 meningkat sebanyak 52.1% atau RM20.8 juta, berbanding pada 2022.

Perdagangan antara kedua-dua negara akan meningkat susulan pemeteraian MoU itu, katanya.

“Kita juga akan menubuhkan Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-Palestin untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Segala usaha ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha pembangunan dan kesejahteraan rakyat Palestin,” katanya

Beliau berkata, kerajaan komited menyokong perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara sahabat untuk mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan bagi isu Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.