10 ditahan culik pasangan dekat plaza tol

10 ditahan culik pasangan dekat plaza tol

Polis berkata, empat lagi suspek masih diburu dalam kes penculikan di Lebuhraya Maju bulan lalu.

Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan (tiga dari kiri) dan pasukannya menunjukkan wang tunai RM1.5 juta yang dirampas.
SEPANG:
Polis menahan sepuluh suspek dan giat memburu empat lagi berhubung kes penculikan pasangan warga asing dekat plaza tol Lebuhraya Maju (MEX) pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata wang tunai RM1.5 juta dan pelbagai barangan mewah serta beberapa kenderaan yang dipercayai dibeli menggunakan wang tebusan turut dirampas.

“Nilai keseluruhan wang tunai dan barang rampasan berjumlah RM3.1 juta. Kami hampir menyelesaikan kes penculikan ini yang kami percaya membabitkan 18 suspek,” katanya dalam sidang media di sini.

Seorang lelaki warga China dan wanita tempatan dibebaskan pada petang 15 Julai lalu di tepi Jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan, kira-kira empat hari selepas diculik.

Pasangan itu dibebaskan selepas adik warga asing itu membayar wang tebusan dalam mata wang kripto berjumlah USD1,161,127 (RM5,457,290) kepada penculik.

Hussein berkata, 10 suspek ditahan itu termasuk enam lelaki dan empat wanita, manakala tiga lagi lelaki dan seorang wanita masih diburu. Semuanya warga tempatan.

Menurutnya, seorang daripada 18 suspek itu pernah menjadi pemandu peribadi mangsa lelaki dan membantu dalam penculikan berkenaan.

Awal bulan ini, polis menembak mati empat suspek dipercayai sebahagian daripada kumpulan penculikan di Johor Bahru, Johor.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata, remaja 14 tahun yang menyamar pegawai perubatan di sebuah hospital Serdang didapati menerima rawatan psikiatri Mac lalu, tetapi terlepas temujanji berikutnya.

“Dia mengalami gangguan mental dan emosi. Kami merujuknya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kaunseling, sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya.”

Gadis itu ditahan di lobi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada 8 Ogos lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis Sabtu lalu.

Hussein berkata, remaja itu keluar masuk hospital selama seminggu sebelum ditahan polis yang menerima laporan kakitangan hospital berhubung seorang wanita tidak dikenali dalam dewan bedah.

Sementara itu, katanya, seorang anggota polis yang ditahan kerana memproses air ketum susulan serbuan di Cheras minggu lalu mendakwa ketum itu untuk kegunaan peribadi.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.