Ungkapan ‘kafir harbi’, laporan dibuat terhadap Adun Rembia

Ungkapan ‘kafir harbi’, laporan dibuat terhadap Adun Rembia

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan berkata tuduhan dibuat oleh dua individu.

(Dari kanan, barisan depan) Syahredzan Johan, Young Syefura Othman, dan Sheikh Umar Bagharib Ali di IPD Dang Wangi hari ini selepas laporan polis dibuat berkaitan ungkapan ‘kafir harbi’.
KUALA LUMPUR:
Tiga pemimpin Melayu DAP ke balai polis untuk membuat satu laporan berkenaan ungkapan ‘kafir harbi’, kali ini terhadap Adun Rembia Jailani Khamis juga.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, dan bekas Adun Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis tersebut.

Ditemui pemberita selepas laporan dibuat, Syahredzan menjelaskan tuduhan itu dibuat oleh dua individu.

“Pengerusi majlis itu ada mohon maaf tapi Adun Rembia Jailani Khamis tak mengaku apa-apa dan senyap sahaja,” katanya.

FMT sedang mendapatkan reaksi Jailani.

Kelmarin, beberapa pemimpin Melayu DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’ dalam sebuah ceramah sempena PRK Nenggiri pada Khamis lalu.

Satu laporan polis dibuat oleh DAP Gua Musang semalam, berdasarkan suatu video yang tular di media sosial.

Perikatan Nasional kemudian merehatkan seorang ahli daripada kempen PRK Nenggiri selama tiga hari, bagi memastikan keadaan kembali tenang susulan kontroversi itu.

Syahredzan berkata perkara ini wajar dipandang serius kerana tiada permohonan maaf secara jelas dan rasmi daripada individu terbabit mahupun parti mereka.

“Jangan lepaskan mereka yang ingin menyemai benih kebencian dan menyemarakkan api permusuhan rakyat kita,” katanya.

“Saya rasa apa-apa pun nak minta maaf atau apa, yang penting tindakan diambil kepada mereka.”

Di platform X, Syahredzan yang juga ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP, menulis mereka membuat laporan polis terhadap Jailani dan seorang individu, Zamri Zahari, berkenaan ungkapan ‘kafir harbi’ yang ditujukan kepada DAP.

“Kami menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dua individu ini,” katanya.

Sementara itu, Syefura yang membuat laporan itu berkata langkah ini demi keselamatan.

“Mereka patut bertanggungjawab atas ucapan kebencian yang merbahaya itu sungguhpun itu hanya dibuat ketika ceramah,” katanya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ‘kafir harbi’ akan membawa implikasi buruk dan dahsyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.