
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Law Teik Hua, berkata berdasarkan statistik penunggang motosikal dalam kumpulan umur 16 hingga 19 tahun menyumbang kepada hampir 20% kematian.

Katanya, ia sekali gus menyebabkan had umur bagi mengambil lesen motosikal perlu dikaji semula.
“Perubahan dasar ini bertujuan mengurangkan bilangan penunggang muda yang tidak berpengalaman di jalan raya, dengan itu mengurangkan mereka kepada risiko dan akhirnya mengurangkan jumlah kematian,” katanya kepada FMT.
Law turut mencadangkan Kementerian Pengangkutan mengasingkan laluan motosikal dengan kenderaan lain di kawasan kritikal bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Berdasarkan data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dari 2001 hingga 2023, kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan peratusan tertinggi berbanding pengguna jalan raya lain.
Tahun lalu kematian melibatkan pengguna jalan raya mencatatkan 6,473 dengan 4,480 atau 69.2% daripadanya adalah motosikal.

Sementara itu, aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin bimbang jumlah kematian akan terus meningkat jika tiada penyelesaian proaktif diambil kerajaan.
Beliau menggesa kerajaan mengambil kira cadangan oleh polis lima tahun lalu menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ke-60 bagi penyelesaian terhadap masalah ‘rempit’ serta membentuk budaya baru bermotosikal dalam kalangan golongan muda.
“JSPT telah mengusulkan kepada MKJR, MOT dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar mewujudkan satu kategori pelesenan baharu untuk pemohon lesen motosikal bagi golongan 16 hingga 20 tahun dan mana-mana kategori umur bagi pemohon pertama kali lesen.
“Kumpulan ini hanya dibenarkan menunggang motosikal berkapasiti kecil iaitu 90cc ke bawah seperti skuter atau kapcai atau hanya menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah,” katanya yang juga bekas ahli lembaga pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurutnya, ia sudah lama diamalkan di Jepun dan United Kingdom yang mana penunggang motosikal lesen kali pertama atau golongan muda dari umur 16 tahun hanya layak menunggang motosikal dengan kemampuan kelajuan maksima 90km/j.