
Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan membuka pintu seluas-luasnya kepada parti yang bersaing untuk mendekati dan meraih sokongan komuniti itu, bagi mendapatkan yang terbaik daripada mereka.
“Kita mahu wakil rakyat yang menang betul-betul membela nasib Orang Asli, bukan hanya muncul bila nak dapat undi sahaja selepas menang hilang,” kata Timbalan Pengerusi Nasir Dollah kepada FMT.
“Kita bagi peluang kepada mana-mana datang untuk berkempen… kalau kamu menyekat mana-mana parti masuk berkempen, kamu jangan buat demokrasi.”
Nasir berkata undi Orang Asli di Nenggiri, yang nasib mereka beliau umpamakan ‘hidup segan mati tak mahu’, bakal menjadi penentu kemenangan.
Beliau menambah parti-parti politik tidak perlu retorik dan menuding jari, sebaliknya tumpu pada menyelesaikan isu.
“Ada penempatan orang Asli termasuk di Rancangan Pengumpulan Semula masih tidak ada sumber air. Mereka nak air terpaksa cari di sungai sedangkan peruntukan air ini Jabatan Kemajuan Orang Asli uruskan… maknanya tanggungjawab persekutuan tapi kerajaan negeri kalau ada peranan ke arah itu kena campur tangan juga.”
Menjelaskan kritikannya, Nasir berkata Orang Asli hanya mahu dijaga oleh kedua-dua parti pemerintah, di Kelantan dan Putrajaya.
“Orang Asli di sini nasib kita macam hidup segan mati tak mahu. Kami macam tak ada pilihan… nak undi PAS sama, nak undi BN sama juga,” katanya.
Nazir menggesa kedua-dua parti pemerintah berhubung dengan pihaknya untuk menyelesaikan isu Orang Asli.
“Sebab itu kita nak ada hubungan baik dengan kerajaan negeri dan pusat. Bila melibatkan tanah kita bincang dengan negeri, bila melibatkan pembangunan asas kita bincang dengan pusat. Itu sebenarnya hasrat kita.”
Menurut Nasir, isu yang membelenggu Orang Asli di Gua Musang berkait perkara asas seperti pemilikan tanah dan prasarana seperti bekalan air bersih dan jalan raya.
“Kerajaan persekutuan kena ambil maklum tentang perkara ini tapi saya tak nak kerana kita mengundi BN kamu duduk selesa sebab kamu fikir tak apa Orang Asli tetap undi saya,” katanya.
“Orang Asli sinonim dengan BN tapi sekarang keadaan sudah berubah. Orang Asli sudah terbuka.”
Seramai 20,259 pengundi akan memilih wakil mereka pada 17 Ogos, dalam pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.
Menurut Nasir, terdapat kira-kira 2,843 pengundi daripada komuniti Orang Asli.