
Ketua Pengarah Kastam, Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata penahanan anggotanya di Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jun lalu menjadi titik-tolak untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan dan tatakelola oleh JKDM.
“Pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa antara pendekatan diambil JKDM bagi memastikan penyampaian perkhidmatan sentiasa pada tahap optimum dan mengelakkan amalan kerja negatif.
“Ini juga selaras arahan ketua pengarah perkhidmatan awam melalui surat bertarikh 18 April lalu berhubung peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan yang berintegriti,” katanya kepada FMT.
Pada 13 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu termasuk 11 pegawai JKDM bagi membantu siasatan kes penyeludupan barangan import dan elak cukai atau ‘kontena terbang’ di Pelabuhan Klang membabitkan ketirisan berjumlah RM3.5 bilion sejak 10 tahun lalu.
Hasil siasatan SPRM berjaya merampas wang tunai kira-kira RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terlibat.
Susulan siasatan kes itu, 34 anggota kastam turut ditahan di KLIA.
Anis berkata, pemeriksaan mengejut itu adalah aktiviti turun padang untuk beliau melihat sendiri permasalahan dihadapi warga JKDM di lapangan.
Katanya, ia dapat membetulkan budaya kerja tidak sihat dan penambahbaikan sewajarnya dari aspek pengoperasian serta kebajikan anggota kastam.
“Pendekatan lain adalah anggota terlibat dalam siasatan SPRM akan ditukarkan ke penempatan berisiko rendah bagi memastikan urusan siasatan berjalan lancar.
“JKDM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut. Sebarang tindakan ke atas pegawai dan anggota terlibat hanya boleh ditentukan berdasarkan hasil keputusan siasatan kelak,” katanya.