
Beliau mengakui tidak sengaja memintas derny (basikal elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum ia meninggalkan trek, ketika berebut kedudukan dengan pelumba Perancis, Rayan Helal sehingga tidak sempat memperlahankan kelajuan.
Pelumba berusia 36 tahun itu berkata, dua faktor berkenaan adalah sekatan dan himpitan berterusan daripada pelumba Perancis serta pergerakan derny pada kelajuan hanya 40 hingga 45km/j berbanding lazimnya 50 hingga 55km/j.
Azizulhasni atau Jijoe merancang mendapat posisi paling depan seawal mungkin susulan undian di kedudukan terakhir dalam kalangan enam pelumba.

“Hasil perbincangan bersama jurulatih John Beasley, plan terbaik adalah terus ke hadapan dan cuba mendapatkan posisi paling hadapan seawal mungkin.
“Akan ada kemungkinan ‘blocking’ dan ‘gapping’ daripada beberapa pelumba hadapan, jika saya menggunakan taktik menunggu. Jadi, saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu.
“Namun, ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan daripada pelumba Perancis.
“Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ia adalah ‘intentionally aggressive’ kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh kerana reaksi pantas dan ‘good handling skill’ yang saya ada,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, kebiasaanya pacer akan memecut keluar selepas selekoh empat dengan kelajuan 50-55km/j pada pusingan akhir, namun ia bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.
“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer belum memecut keluar, terkejut dan cuba ‘back pedal’ sebagai cara untuk ‘breaking’, malangnya tak sempat memperlahankan kelajuan seperti diinginkan.
“Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di ‘pursuit line’, iaitu garisan halus di tengah ‘front stretch’ (bukannya garisan permulaan).”
Atlet dengan gelaran The Pocket Rocketman itu berkata, Beasley dan pengurus pasukan, Izham Mohammad menjelaskan keadaan kepada panel komisar sejurus kejadian serta memohon mereka memeriksa video perlumbaan, “namun mereka memilih untuk kekal dengan keputusan sama”.
Azizulhasni berkata, situasi sama pernah berlaku dalam perlumbaan lain, tetapi komisar hanya memulakan kembali perlumbaan dan tiada pelumba disingkirkan.
Beliau berharap rakyat terus menyokong dan mendoakan rakan sepasukannya, Shah Firdaus Sahrom yang layak ke suku akhir acara keirin dapat membawa pulang pingat emas untuk kontinjen Malaysia.
“Saya percaya Shah Firdaus mampu melakukannya.”