
Beliau yang mengambil alih jawatan pengerusi Suhakam bulan lalu, menulis 750 penghakiman sepanjang 23 tahun menjadi hakim, termasuk pernah mempengerusikan beberapa kes membabitkan hak asasi manusia.
Peguam itu memulakan kerjayanya pada 1973 sebagai majistret di Kuala Lumpur. Beliau dinaikkan pangkat sebagai presiden Mahkamah Sesyen, sebelum menjadi penasihat undang-undang Selangor dan ketua pendaftar Mahkamah Agung ketika itu.
Hishamudin dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 1992 dan hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian. Beliau kemudian ke Mahkamah Rayuan pada 2009 dan bersara pada 2015.
“Pengalaman sebagai hakim membawa saya lebih dekat kepada isu hak asasi manusia kerana perlu mendengar dan memutuskan beberapa kes sedemikian. Mendengar dan memutuskan kes ini membolehkan saya lebih memahami dan mendalami isu hak asasi manusia,” katanya kepada FMT.
Sepanjang kariernya sebagai hakim, Hishamudin mengetuai kes membabitkan kebebasan asasi, termasuk hak untuk hidup dan keperluan asas, kebebasan bersuara serta beragama.
Isu hak asasi manusia yang berkembang pesat sejajar kemunculan trend baharu, Hishamudin berkata, Suhakam perlu mengembangkan sumber manusianya dan menubuhkan lebih banyak pejabat serantau bagi menangani pelbagai isu.
Suhakam berpangkalan di Kuala Lumpur dan kini mempunyai pejabat di Kota Kinabalu serta Kuching.
Katanya, secara keseluruhan, siasatan dan syor Suhakam dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa bagi memastikan pelanggaran hak asasi manusia ditangani secukupnya dan selaras piawaian serta kewajipan antarabangsa.
Dilantik pesuruhjaya Suhakam dari 2019 hingga 2022, beliau mengetuai panel yang melancarkan siasatan berhubung kehilangan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu. Panel itu sebulat suara mendapati pasangan terbabit menjadi mangsa kehilangan paksa.
Pun begitu, panel tiga anggota yang termasuk Pesuruhjaya Suhakam ketika itu, Jerald Joseph dan Madeline Berma tidak menemui sebarang bukti kedua-duanya diculik ejen kerajaan.
Suhakam turut mengadakan inkuiri ke atas kehilangan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh antara 2017 dan 2019, yang membuat kesimpulan mereka adalah mangsa kehilangan paksa dilakukan kerajaan, khasnya Cawangan Khas Bukit Aman.
Hishamudin berkata, Suhakam sehingga kini membuat beberapa syor kepada kerajaan bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang.
Dalam laporan kehilangan Joshua dan Ruth yang dikeluarkan pada 15 April 2022, Suhakam mengesyorkan polis memperkukuh dan menambah baik SOP meliputi siasatan ke atas orang hilang, penculikan serta kehilangan. Ia turut menggesa Putrajaya memperhebatkan siasatan berhubung kehilangan pasangan itu.
Suruhanjaya itu turut mengesyorkan kertas siasatan polis dikongsi dengan badan penyiasat lain dan menggesa promosi serta pendidikan lebih baik berhubung program perlindungan saksi.
Beliau berkata, Suhakam juga menyeru pihak berkuasa menghormati kebebasan beragama sebagai hak asasi manusia, selain berharap kerajaan akan melaksanakan cadangannya dalam menangani kehilangan paksa dan pelanggaran hak asasi manusia serupa.