
Beliau berkata, tiada masalah untuk polis bertanya identiti sumber apabila siasatan dijalankan kerana itu hak mereka, dan wartawan dibenar mempertahankan pendirian tidak mendedahkannya.
“Wartawan ada hak membuat laporan, tapi polis juga ada hak untuk menyiasat berdasarkan undang-undang.
“Mereka boleh sahaja kekal pertahan laporan mahupun sumber berita masing-masing…apabila ditanya, maka jawab. Tiada isu,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran dan Pelepasan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Pusat Komuniti Lembah Pantai.
Terdahulu, beberapa pihak termasuk Tokoh Wartawan Negara Johan Jaafar mengecam tindakan polis memanggil tiga wartawan Malaysiakini untuk disoal disiasat.
Katanya, ia hanya akan memberi imej buruk kepada pasukan terbabit dan dilihat sebagai usaha polis mengganggu wartawan yang mahu menjalankan tugas.
Semalam, wartawan terbabit disoal selama lebih sejam berhubung artikel mengenai dakwaan rombakan Bukit Aman.
Nantha Kumar, Hariz Mohd dan Shahrin Aizat Noorshahrizam antara lain disoal tentang sumber mereka.
Mereka bagaimanapun memilih untuk menjawab sebahagian besar soalan yang diajukan di mahkamah jika didakwa.
Artikel diterbitkan Selasa lalu memetik sumber mengatakan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Mohd Shuhaily Mohd Zain akan dipindahkan untuk menerajui agensi lain, bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Sementara itu, Fahmi menafikan imej industri media akan terjejas berikutan insiden sedemikian, seiring kejatuhan kedudukan Malaysia dalam indeks kebebasan media.
“Ranking bukan semata-mata berdasarkan prestasi negara itu, tetapi prestasi relatif berbanding negara-negara lain dalam pengiraan daripada Wartawan Tanpa Sempadan (RSF).
“Meskipun kita berada di paras sama berdasarkan metriks, tetapi ada negara lain yang menunjukkan kemajuan, kedudukan kita akan jatuh,” katanya.