Tak boleh label bukan Islam di Malaysia kafir harbi, kata Pejabat Mufti WP

Tak boleh label bukan Islam di Malaysia kafir harbi, kata Pejabat Mufti WP

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, melabelkan sebahagian warganegara sesebuah negara sebagai kafir harbi adalah perbuatan ekstrem dan keterlaluan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata istilah kafir harbi boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi serta memerangi umat Islam dan mengusirkan mereka dari tanah air sendiri. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, istilah kafir harbi tidak boleh digunakan terhadap warganegara bukan Islam di sesebuah negara yang menghormati Perlembagaan dan mematuhi undang-undangnya.

Ini kerana, katanya, ia tidak menepati definisi dan tidak mencukupi ciri yang ditetapkan ulama.

“Dalam konteks di Malaysia, setiap warganegara daripada kalangan bukan Islam, maka mereka jauh sekali untuk dimasukkan dalam kategori golongan kafir harbi.

“Melabelkan seseorang warganegara dengan gelaran ini akan membawa implikasi buruk dan dahsyat kerana mereka halal untuk diperangi, keamanan mereka tidak akan dijaga dan keselamatan harta benda mereka tidak akan dijamin,” katanya dalam kenyataan di laman webnya.

Menurutnya, melabelkan sebahagian warganegara sesebuah negara sebagai kafir harbi merupakan perbuatan ekstrem dan keterlaluan.

Ia berkata, istilah kafir harbi dirujuk kepada orang bukan Islam yang tiada jaminan perlindungan daripada umat Islam dan merupakan golongan memerangi Islam serta melakukan kejahatan ke atas mereka.

“Adapun jika ingin melihat konteks kafir harbi pada zaman sekarang, maka istilah itu boleh dirujuk kepada kumpulan Zionis dan Israel yang memusuhi dan memerangi umat Islam serta mengusirkan mereka daripada tempat kediaman dan tanah air mereka.”

Semalam, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman menuntut Perikatan Nasional (PN) memohon maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu kafir harbi dalam ceramah gabungan itu sempena PRK Nenggiri Khamis lalu.

Mereka turut menuntut PAS dan PN menyuarakan pendirian sama ada mereka bersetuju dengan kenyataan melampau dikeluarkan individu terbabit.

Susulan itu, Pengarah Operasi PN bagi PRK Nenggiri, Annuar Musa, berkata seorang ahlinya direhatkan daripada kempen PRK Nenggiri selama tiga hari selepas membuat dakwaan itu ketika mengacarakan sebuah majlis kelmarin.

Annuar bagaimanapun berkata, tiada keperluan PAS memohon maaf kepada DAP kerana perkara itu subjektif dalam politik, selain dakwaan ahli itu dibuat atas kapasiti peribadi, bukannya pendirian parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.