Larangan penjualan kupang di perairan Port Dickson ditarik balik

Larangan penjualan kupang di perairan Port Dickson ditarik balik

Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

Hasil analisis makmal April lalu mendapati terdapat alga berbahaya menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan. (Gambar AFP)
TAMPIN:
Jabatan Perikanan Malaysia menarik balik larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan termasuk kupang di perairan Port Dickson dan Melaka berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Arthur Joseph Kurup, berkata hasil pemantauan dan analisis makmal, bacaan biotoksin menunjukkan penurunan di bawah 400 per bilion (ppb) bagi sampel ke-15 .

“Jadi aktiviti perikanan di kawasan terjejas boleh diteruskan seperti biasa. Pemantauan dan pengambilan sampel tetap dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Mengoca Komuniti Perikanan (myKP) Sungai Jerneh di Estet Ikan Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh dekat sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Tampin Mohd Isam Mohd Isa dan Ketua Pengarah Perikanan Adnan Hussain.

Pada masa sama, Arthur turut menasihatkan orang ramai berwaspada dan mengikuti perkembangan lanjut daripada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan makanan terjamin.

Pada 4 April lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF Wan Aznan Abdullah berkata hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, Arthur berkata Negeri Sembilan merupakan penyumbang terbesar bagi sub sektor akuakultur iaitu sebanyak 5,587.4 tan metrik (90.78%) pengeluaran ikan dengan nilai RM73.8 juta, tahun lalu.

“Ini melibatkan 431 pengusaha akuakultur berdaftar dan daerah Tampin menyumbang RM2.9 juta kepada pengeluaran ikan air tawar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.