Calon BN sedia selesai masalah tiada ATM di Nenggiri

Calon BN sedia selesai masalah tiada ATM di Nenggiri

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mengambil maklum rintihan penduduk yang disiarkan menerusi laporan FMT, Khamis lalu.

Azmawi Fikri
Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani akan cuba berbincang dengan bank untuk mewujudkan mesin juruwang automatik (ATM) di Nenggiri. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Laporan FMT pada Khamis lalu berhubung kesukaran penduduk di DUN Nenggiri susulan ketiadaan mesin juruwang automatik (ATM) mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Dalam satu video di TikTok, Azmawi menyatakan komitmennya untuk menyelesaikan permasalahan itu dengan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan seperti bank.

“Ambo (saya) terbaca satu rintihan daripada orang kawasan Nenggiri yang inginkan mesin ATM.

“Ambo akan usahakan segera untuk letak ATM di kawasan berkenaan, ambo akan hubungi bank boleh bantu kita bagi menjadikannya realiti,” katanya dalam video sambil memuat naik tangkap layar laporan FMT berhubung isu itu.

Laporan FMT berhubung isu ketiadaan ATM yang menyukarkan kira-kira 30,000 penduduk di Nenggiri.

FMT melaporkan penduduk Nenggiri berdepan kesukaran mengeluarkan wang dan melakukan transaksi perbankan lain susulan ketiadaan ATM, ditambah pula dengan akses internet kurang memuaskan.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa keluar lebih 50km ke bandar Gua Musang serta Dabong untuk mengeluarkan wang dengan ada antaranya terpaksa membayar tambang kereta sewa sekitar RM50 kerana tiada kenderaan.

Sehubungan itu, pengundi berharap wakil rakyat baharu bakal dipilih pada PRK 17 Ogos ini dapat menyelesaikan isu membelenggu 30,000 penduduk Nenggiri terletak bawah Parlimen Gua Musang.

PRK itu menyaksikan pertembungan Mohd Azmawi dengan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Seramai 20,259 pemilih layak untuk mengundi terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.