‘Bersatu Kelantan minta saya mohon pengerusi GLC lepas PAS rampas Galas’, dakwa Azizi

‘Bersatu Kelantan minta saya mohon pengerusi GLC lepas PAS rampas Galas’, dakwa Azizi

Mohd Azizi Abu Naim mendakwa Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Nor memintanya memohon jawatan pengerusi di salah sebuah GLC Kelantan.

Mohd Azizi Abu Naim menjawab dakwaan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud berhubung permohonannya bagi jawatan pengerusi di salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim mendakwa beliau diminta memohon jawatan pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kelantan oleh pimpinan Bersatu selepas PAS ‘merampas’ kerusi DUN Galas pada PRN lalu.

Menjawab dakwaan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud yang menerima surat permohonan itu daripada Azizi, bekas Adun Nenggiri menjelaskan beliau diminta berbuat demikian oleh Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Nor.

“Beliau minta saya mohon atas kapasiti PAS telah rampas DUN Galas, sebelum ini Mohd Amar Abdullah (naib presiden PAS) beritahu Bersatu bertandinglah di mana Umno ‘bersandar’.

“Sebelum itu mereka kata nak ganti dengan DUN lantikan tetapi tak bagi, kuota 30% penghulu pun tak bagi…sebab itulah Bersatu negeri minta saya mohon jawatan GLC berkenaan. Di mana khilafnya saya?,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Nassuruddin dalam ceramah kempen PRK Nenggiri mendakwa Azizi telah menulis surat kepadanya untuk memohon jawatan pengerusi Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd yang kini disandang menteri besar Kelantan itu.

Pada PRN lalu, Azizi yang bertanding atas lambang bulan menang kerusi Nenggiri dengan majoriti 810 undi manakala PAS pula tewas di Galas, iaitu salah satu kerusi bawah Parlimen Gua Musang.

DUN Galas kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN) selepas penyandangnya Mohd Syahbuddin Hashim menewaskan Mohd Tarmizi Abdul Rahman dengan majoriti 3,337 undi.

Bagaimanapun, Azizi terpaksa mengosongkan kerusi tersebut susulan pengisytiharan DUN Kelantan yang menerima notis pelucutan keahlian wakil rakyat itu sebagai ahli Bersatu kerana menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

PRK Nenggiri 17 Ogos ini menyaksikan pertembungan Mohd Rizwadi Ismail daripada PAS dengan calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Azizi berkata sikap PAS itu seolah-olah cuba mengawal semua pentadbiran di Kelantan walaupun Bersatu menjadi rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) dan menang beberapa kerusi.

“Memang cita-cita PAS nak kawal semua dan tak mahu beri peluang kepada Bersatu untuk urus rakyat.

“Disebabkan inilah dalam pentadbiran semua kena ada orang PAS,” katanya.

Bersatu mempunyai lima Adun di Kelantan berbanding PAS (37), tidak termasuk kerusi Nenggiri yang kosong.

Kerusi milik Bersatu adalah Kok Lanas, Gual Ipoh, Bukit Bunga, Ayer Lanas dan Paloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.