Unisza nafi dakwaan jual sijil akademik

Unisza nafi dakwaan jual sijil akademik

Pihak universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh MQA dan KPT, katanya.

Unisza berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan yang tular di media sosial itu, demi kepentingan serta nama baik universiti. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) menafikan dakwaan berhubung penjualan sijil akademik yang dikaitkan dengan universiti itu di media sosial.

Menurut universiti itu, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam menjaga mutu program diploma dan ijazah yang dikeluarkan.

“Pihak universiti sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Unisza juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional yang bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan,” menurut kenyataannya.

Unisza berkata, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang untuk menjaga kepentingan serta nama baik universiti.

Laporan polis juga telah dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang, tambahnya.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan kesahihan maklumat di media sosial sebelum membuat sebarang komen dan ulasan lanjut yang boleh menularkan lagi maklumat salah ini.

“Unisza akan terus komited dalam menjaga nama baik institusi pendidikan tinggi Malaysia serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial kenyataan seorang individu dipercayai penuntut Unisza yang mendakwa enggan menyambung pengajiannya kerana beranggapan program ijazah sarjana muda yang diambilnya tiada kaitan dengan matlamat hidupnya.

Menerusi video berdurasi 1 minit 19 saat itu juga, lelaki tersebut mendakwa program ijazah sarjana muda ‘dibeli’ oleh penuntut apabila perlu membayar yuran pengajian.

Katanya lagi, Unisza terhutang budi dengannya atas urusan yang disifatkannya sebagai jual beli itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.