
Zulkifli Hasan, yang memegang portfolio hal ehwal agama, berkata beliau menerima pautan video mengenai tuduhan ‘kafir harbi’ yang dilemparkan sewenang-wenangnya.
“Pemikiran sebegini adalah sangat bahaya. Orang beriman tidak sebegitu akhlaknya,” katanya di Facebook.
Zulkifli menambah ulama kontemporari cukup jelas berhubung perkara ini.
Katanya, “bukan Muslim yang tinggal di sesebuah negara dan menikmati hak dan tanggungjawab dalam negara tersebut adalah warganegara yang terikat dengan undang-undang dan perlembagaan negara,” katanya.
“Mereka adalah muwatinun (warganegara).”
Beliau menambah bulan kemerdekaan sepatutnya masa untuk semua rakyat menginsafi nikmat keamanan dan memupuk perpaduan.
“Bukannya saling mengapi-apikan permusuhan hanya semata-mata kerana perbezaan ideologi politik,” katanya.
“Rakyat Malaysia perlu menolak pemikiran ‘ghuluw’ yang bahaya ini.”
Terdahulu, beberapa pemimpin Melayu dalam DAP menuntut permohonan maaf susulan video tular memaparkan seorang individu menggelar parti itu ‘kafir harbi’, pada suatu ceramah sempena PRK Nenggiri.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Sheikh Umar Bagharib Ali, Syahredzan Johan, dan Young Syefura Othman menuntut PAS dan Perikatan Nasional menyatakan pendirian mereka berhubung istilah tersebut.